Friday 16 September 2016

Perjalanan Yang Menyeramkan di Jalan Lama

Satu Perjalanan Yang Menyeramkan

Tak pernah rasanya saya berkongsi kisah seram di blog ini tetapi kali ini saya pecah rekod sendiri kerana kebetulan saya baru sangat merasai satu pengalaman yang agak sedikit menyeramkan. Jadi saya terpanggil juga untuk berkongsi kisah saya.

Wanita dan anaknya di tepi Jalan Lama KL - Karak


Sewaktu balik ke kampung sempena AidilAdha baru baru ini. saya terpaksa melalui Jalan Lama KL - Karak. Seingat saya ini adalah kali ke dua saya melalui jalan ini, dan kali ke dua juga melaluinya pada waktu malam..... waktu tengah malam!!!  Berkebetulan pula AidilAdha tahun ini jatuh pada cuti sekolah kali, jadi kesesakan kali ini agak teruk sedikit. 

Pada petang Jumaat di hari akhir persekolahan itu, saya menunggu anak saya di asramanya di sebuah sekolah di Selangor. Sepatutnya anak perempuan saya bersama beberapa orang rakannya akan tiba di asrama sekitar jam 7 petang. Mereka sudah seminggu di utara tanahair kerana menghadiri satu kem badan beruniform. Tetapi faktor kesesakan menyebabkan bas yang membawa anak saya dan rakan-rakannya hanya tiba di asrama sekitar jam 10 malam. 

10 malam di asrama sudah agak sunyi kerana pelajar-pelajar lain telah pulang ke kampung masing-masing pada siang harinya. Terpaksa saya meminta isteri menemani anak saya ke 'dorm'nya yang terletak di tingkat 3 untuk mengambil barang-barang untuk dibawa balik. Tiada apa-apa sebenarnya , sekadar peringatan maklumlah asrama sudah kosong dan hari pula sudah agak lewat.... lagi-lagi pula anak saya tu perempuan. 

Dari sekolah anak saya, kami terus bergerak pulang ke kampung yang terletak di Jengka. Sewaktu kami menghampiri Batu Caves sekitar jam 11.30 malam, kesesakan di Lebuhraya MRR2 menuju ke Lebuhraya Karak masih tidak berubah seperti siang tadi. Jem tahap melekat!!!

Applikasi 'Waze' mencadangkan saya menggunakan jalan lama iaitu Jalan KL - Karak. Beza masa hampir 1 jam berbanding melalui Lebuhraya KL -Karak, jadi memang saya perlu gunakan jalan lama kali ni. 

Kalau yang belum pernah melalui jalan ini, boleh la bayangkan jalan yang berselekoh, sempit dan sunyi seperti menuju ke Bukit Fraser, cuma jalan ni lebih sempit, selekohnya lebih tajam dan jalannya lebih sunyi.

Teringat lebih 15 tahun dahulu, saya melalui jalan ini juga di waktu malam. Ketika itu berlaku tanah runtuh di susur ke Genting Highland yang telah menutupi sebahagian Lebuhraya KL - Karak. Tak silap saya, salah seorang mangsa yang tertimbus oleh tanah runtuh itu masih belum dijumpai sehingga kini. Berkubur jasadnya di situ. 

Fasa pertama perjalanan adalah dari Gombak ke Genting Sempah agak 'okey' kerana kereta masih banyak yang melalui jalan ini. Berderet kereta di hadapan kami, dan masih berjujut kereta di belakang kami. Perjalanan lancar cuma ada sekali kami terpaksa berhenti kerana berselisih dengan lori di satu selekoh. Jalan sempit la katakan, terpaksa bertolak ansur.

Tengah-tengah malam ni di tengah-tengah hutan boleh pula ternampak satu kereta berhenti kerana penumpangnya membuang air. Berani giler kereta ni....  Dah tak tahan sangat la tu sampai sanggup berhenti. Tapi mesti dia ada rasa sikit takut-takut kot sebab si  lelaki tu terpaksa membuang air kecil tak jauh dari kereta dia. He he he. Berani dalam takut.

Sampai di Genting Sempah dan kami terus memasuki Lebuhraya KL- Karak, lebuhraya masih sesak. Dan 'Waze' masih mencadangkan kami meneruskan perjalanan dengan menggunakan laluan lama sehingga ke Bentong. Jadi kami keluar dari lebuhraya di persimpangan Bukit Tinggi dan menuju ke Bentong.

Sewaktu kami mula memasuki jalan lama, kami baru perasan hanya kereta kami sahaja yang melalui jalan ini pada waktu ini!!!

Lantas secara spontan isteri saya berkata " Kita patah balik la bang, tak ada orang lain pun lalu sini. Dah tengah malam ni, apa-apa nanti susah."

Saya faham maksud 'apa-apa' isteri saya tetapi saya menjawab " InsyaAllah tak ada apa-apa, kereta dah servis dan highway tu jem sangat"

Jadi perjalanan di teruskan menuju ke Bentong membelah kegelapan dan kesunyian malam....... Anak-anak semuanya telah tidur dan hanya isteri yang masih gagah menemani saya sepanjang perjalanan itu.

Perjalan menuju ke Bentong ketika itu hanya ditemani bacaan ayat-ayat Al-Qurran dari CD Player. Bagi saya tak 'manis' pula dengar radio di kawasan macam ni.




Sampai di satu selekoh, kelihatan beberapa kenderaan telah berhenti di hadapan dan beberapa orang sedang mengerumuni sesuatu di tepi jalan. Kerana perasaan ingin tahu, saya turut memberhentikan kenderaan dan sama-sama menuju ke tempat mereka berkumpul.

Terkejut saya!!! Rupa-rupanya di situ kelihatan seorang wanita yang sedang terbaring sambil memeluk erat anaknya. Saya berpendapat anaknya mungkin baru berumur sekitar 1-2 tahun. Yang menyedihkan wanita itu telah meninggal dunia berdasarkan keadaannya yang sudah mereput. Mungkin sudah berhari mayatnya di situ. Bau pun sungguh menusuk hidung....

Orang ramai hanya datang untuk melihat seketika dan berlalu pergi dengan menutup hidung kerana tidak tahan dengan bau mayat itu. Saya bersama seorang lelaki, bersama-sama mengangkat mayat dan diletakkan di atas satu kain dan kami turut mengutip cebisan-cebisan daging yang telah mereput.

Ketika mengutip cebisan daging mayat wanita itu sambil membaca 'sesuatu', tiba-tiba bahu kiri saya di cuit oleh seseorang "Abang, bangun bang!! Abang mengigau ni"

Rupanya isteri saya mengejutkan saya kerana dia agak gusar melihat saya membaca 'sesuatu' yang tidak berapa jelas. Pada waktu itu, apa sahaja ayat Al Qurran yang terlintas, itulah yang saya baca. 

Apabila sedar kembali dari terlelap, baru saya teringat rupanya tadi saya berhenti sebentar di stesyen minyak Petronas Bentong untuk berehat kerana keletihan. Mana tak letihnya, awal pagi telah ke pejabat, kemudian balik ke rumah untuk mengambil isteri dan anak-anak, dan kemudian teraksa menunggu anak di asrama sehingga 10 malam. Oleh kerana terlalu letih, saya terlelap seketika di dalam kereta.... terlelap sehingga termimpi sesuatu yang agak 'misteri' bagi saya.
Volksvagen Kuning
Tak semua berani turun dari kereta di tengah malam di jalan sunyi!!



Wanita Tinggi Berbaju Biru di Jalan Jengka

Sedar dari mimpi itu tadi, jam sudah menunjukkan jam 2 pagi. Perjalanan ke Jengka perlu diteruskan. Dari Bentong saya terus memasuki lebuhraya Kuala Lumpur - Karak dan seterusnya memasuki Lebuhraya LPT sebelum perlu keluar di Exit Chenor dan meneruskan perjalanan dengan melalui Jalan Jengka yang kiri dan kanannya adalah ladang sawit. 

Sepanjang perjalanan di lebuhraya itu beberapa kali terimbau kembali pengalaman saya terserempak dengan seorang wanita di Jalan Jengka di tengah malam beberapa tahun dahulu. Wanita lagi.....

Kisahnya begini, beberapa tahun dahulu, saya menghantar adik ipar saya ke rumah sahabatnya di salah sebuah Felda Jengka XX dengan ditemani ibu mertua saya. Kami terpaksa ke sana pada lewat malam kerana adik ipar saya akan menumpang sahabatnya untuk balik ke UUM. Siang harinya, rumah sahabat adik ipar saya itu ada majlis kenduri kahwin, jadi terpaksa dia bergerak agak lewat sedikit ke UUM. Adat menumpang orang, jadi kena ikutkan sahaja waktu yang ditetapkan oleh sahabatnya.

Dalam perjalanan pulang, seperti biasa jalan di Jengka agak sunyi dan tidak banyak kenderaan pada waktu malam dan lebih-lebih lagi tengah malam. Sebagai anak Jengka, saya sudah biasa melalui jalan di sini pada waktu malam. Tiada perasaan takut atau seumpamanya,

Perjalanan cukup mendamaikan dengan ditemani DJ radio iaitu DJ Lyn dari Suria FM. Lagu yang mendayu-dayu dan langit cerah serta bulan penuh cukup mendamaikan. Memandu sambil layannnn....

Ketika menghampiri satu selekoh, dari jauh saya nampak seperti ada seseorang di tepi jalan. Tanpa berfikir apa-apa, saya merendahkan lampu kereta dan kemudian saya menaikkan 'high beam' semula untuk mengesahkan memang ada orang di hadapan sana. Yup, memang betul apa yang saya nampak, ada seorang wanita berbaju biru di  hadapan sana.

Cuma terdetik pada waktu itu...."apa la yang dia buat tengah-tengah malam ni" 

Apabila saya semakin menghampiri 'dia', terpancul dari mulut saya Ya Allah! Tingginya!!

Terkejut saya kerana apa yang saya nampak tadi adalah seorang wanita berbaju biru tetapi sangat tinggi. Sewaktu saya melintasinya, sedikit pun saya tidak berani menoleh ke kanan untuk melihatnya. Seperti nafaz tersekat dan tergamam seketika.

Tiada apa yang terlintas ketika itu kecuali teus saya memainkan CD Player untuk mendengar bacaan ayat-ayat Al Qurran sambil mulut saya tidak putus-putus membaca apa-apa sahaja ayat yang terlintas di kepala pada waktu itu.  Saya tak tahu ibu mertua saya di belakang sudah tertidur atau tidak, sama ada dia perasan apa yang saya nampak atau pun tidak, Saya teruskan sahaja perjalanan tanpa berani melihat cermin belakang kereta saya... Toleh ke kiri kanan pun saya dah tak sanggup.





Keesokkanya ketika bersarapan pagi, ibu mertua saya bertanya "Kenapa malam tadi tiba-tiba mengaji dan pasang ayat-ayat Al Qurran?"

Dan terpaksalah saya menceritakan apa yang saya nampak kepada dia dan juga kepada isteri saya.

Kisah wanita berbaju biru ini tidak habis di situ sahaja sebenarnya. Seminggu selepas saya balik ke rumah di ibukota, kelibat wanita itu masih saya rasai akan kewujudannya. Di rumah dan di pejabat sentiasa saya terasa macam ternampak-nampak sahaja wanita itu. Yang lebih saya rungsing, sehingga saya ke masjid sekali pun, kelibat wanita itu seakan masih ada.

Tak boleh jadi ni....

Dan hujung minggu berikutnya, atas nasihat isteri saya kami pulang semula ke kampung di Jengka. Kali ini saya pulang ke rumah saya dan bukannya ke rumah ibu mertua saya. Kononnya untuk bertanya kepada yang arif ... apa yang perlu saya buat. Saya ceritakan segalanya kepada ayah saya... dari kisah saya ternampak wanita itu sehingga saat saya masih terbayang akan kelibatnya. Siapa lagi tempat kina hendak mengadu kalau bukan orang tua kita.

Ayah saya mengambil segelas air dan membacakan ayat-ayat suci Al Qurran dan menghembuskan ke air dan menyuruh saya meminumnya. Sedikit renjisan ke muka saya dan dia berkata " tak ada apa-apa, ni la upah kalau suka sangat berjalan malam". 

Memang saya tak nafikan saya memang suka memandu di waktu malam terutama untuk perjalanan jauh kerana lebih sejuk dan selesa disamping tiada speed trap.

Alhamdulillah, selepas itu kelibat wanita berbaju biru itu terus saya lupakan sehingga kini. Sebenarnya ini juga adalah kali pertama saya nampak ayah saya 'mengubat' orang. Mungkin ada ilmu yang disimpan oleh ayah saya....dan mungkin juga hanya kebetulan kelibat wanita itu hilang begitu sahaja. 

Tetapi kini kisah wanita berbaju biru itu muncul kembali apabila saya bermimpi ketika melalui Jalan Lama KL - Karak ini. Misteri sungguh kerana muncul selepas beberapa tahun.

Perjalan kami ke Jengka malam iu selamat tiba tanpa apa-apa peristiwa yang tidak menyenangkan. Keesokan harinya, saya post kisah yang sama ini di Facebook dan antara komen rakan-rakan saya adalah mengenai wujudnya Filem seram Karak dan Jengka. Baru saya tahu rupanya ada kisah seram yang telah difilemkan mengenai misteri Jalan Karak dan Jengka itu sendiri. 

Bagi saya...yang misteri biarkan ia terus menjadi misteri


Dan sehari dua ni saya perasan di TV ada iklan mengenai Filem Volkswagen Kuning. Segalanya menjadi segar kembali di ingatan dan berkebetulan pula saya terbaca dan rasa tertarik dengan post Bro Framestone   di blognya mengenai Filem Volkswagen Kuning. Nasib baik la kedua-dua pengalaman saya ini tidak ada kelibat Volkswagen Kuning. He he he .... kalau tak panjnag cerita.

Filem Volkswagen Kuning ini merupakan keluaran MIG Picture dan dibintangi oleh Pekin Ibrahim dan Atikah Suhaimie. Melihat kepada Trailer filem ini, perghhhh.... meremang jugak bulu roma.

Filem ini bakal di tayangkan pada 22 September ini. Nampaknya filem ini akan menjadi filem seram tempatan pertama yang akan saya tonton di pawagam.

Volksvagen Kuning
Volksvagen Kuning


Sinopsis Volkswagen Kuning

Filem Volkswagen Kuning ini mengisahkan sepasang kekasih yang telah bertunang, Fuad dan Sarah, yang dalam perjalanan untuk pulang ke kampung Fuad. Mereka mengalami gangguan apabila tersesat selepas senja semasa mencari kedai makan. Gangguan itu menyebabkan mereka mengalami kemalangan dan Sarah mula berubah. Semuanya gara-gara Volkswagen kuning!


Fuad ditahan di wad, manakala Sarah langsung tidak mengalami kecederaan. Raudhah, kakak Sarah, datang untuk menjemput Sarah pulang ke bandar, sementara menunggu Fuad pulih dari kecederaan. Tanpa diduga, Sarah membawa pulang ‘sesuatu’ bersamanya.
Volksvagen Kuning
Filem Volksvagen Kuning 

Filem Volkswagen Kuning





Apa kata tonton dahulu trailer dan juga klip behind the scene dengan klik pautan di bawah.


Link Trailer : https://www.youtube.com/watch?v=m02a-R7nWlQ
Link Behind the Scene : https://www.youtube.com/watch?v=Oqkvx0cuZ4A




Kisah seram saya ni tak berapa seram sebenarnya...  mungkin pembaca lain mempunyai pelbagai pengalaman yang  yang lebih menyeramkan.

Kalau ada pembaca yang mempunyai kisah seram, apa kata kongsikannya di blog anda dan sertai contest yang dianjurkan oleh Bro Framestone dengan kerjasama pihak MIF Picture Sdn Bhd. Hadiah telefon pintar Oppo F1s ditawarkan oleh Oppo Malaysia. Jadi boleh la share cerita sambil menyertai contest ini.



Untuk menyertainya, boleh klik pautan ini
http://www.broframestone.com/2016/09/bloggers-contest-filem-volkswagen-kuning/


Dan juga jangan lupa upload gambar di bawah ni di Instagram/ Facebook anda dengan hashtag
berikut :  #OppoF1s #SelfieExpert #VolkswagenKuning #MiGOnline#VKBloggerReview #BlogRetis





Dan sekali lagi ....... Biarkan Misteri Terus Menjadi Misteri.....


~mat-drat~


3 comments:

  1. http://nalurerenewws.blogspot.com/2018/07/taipanqq-7-manfaat-dari-ciuman-yang.html

    Taipanbiru
    TAIPANBIRU . COM | QQTAIPAN .NET | ASIATAIPAN . COM |
    -KARTU BOLEH BANDING, SERVICE JANGAN TANDING !-
    Jangan Menunda Kemenangan Bermain Anda ! Segera Daftarkan User ID terbaik nya & Mainkan Kartu Bagusnya.
    Dengan minimal Deposit hanya Rp 20.000,-
    1 user ID sudah bisa bermain 8 Permainan.
    BandarQ
    AduQ
    Capsasusun
    Domino99
    Poker
    BandarPoker
    Sakong
    Bandar66

    Kami juga akan memudahkan anda untuk pembuatan ID dengan registrasi secara gratis.
    Untuk proses DEPO & WITHDRAW langsung ditangani oleh
    customer service kami yang profesional dan ramah.
    NO SYSTEM ROBOT!!! 100 % PLAYER Vs PLAYER
    Anda Juga Dapat Memainkannya Via Android / IPhone / IPad
    Untuk info lebih jelas silahkan hubungi CS kami-Online 24jam !!
    • WA: +62 813 8217 0873
    • BB : E314EED5

    Daftar taipanqq

    Taipanqq

    taipanqq.com

    Agen BandarQ

    Kartu Online

    Taipan1945

    Judi Online

    AgenSakong

    ReplyDelete
  2. Seram lah pulak,sebab jalan tu jugak saya pernah mengalami misteri yg tak terungkai sampai hari ni.. Hihihi misteri malam nusantara.. Hanya yg pernah alami je yg tahu.

    ReplyDelete

Komen dan cadangan dari pembaca amat di alu-alukan.

Walau bagaimana pun Mat Drat mengambil sedikit masa untuk membalas komen atau sebarang pertanyaan.