Pages

Tuesday, 30 July 2019

AL SULTAN ABDULLAH : Maksud Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah






AL-SULTAN...

Jika sebelum ni kita biasa menyebut Sultan, tepai mulai awal tahun ni, kita telah dibiasakan dengan sebutan 'AL-SULTAN'.

Penggunaan perkataan 'Al' di hadapan nama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah adalah mengikut nahu Arab yang tepat sebenarnya.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata Al-Sultan Abdullah telah mempersetujui penggunaan nama itu kerana mengambil kira ketepatan nahu Arab, berbeza daripada kebiasaan orang Melayu yang terus menyebut 'Sultan'.

"Penggunaan 'Al' ini adalah disebabkan nahu Arab seperti mana perkataan 'the' di dalam bahasa Inggeris memandangkan Abdullah adalah kata nama khas."

"... itu yang dipersetujui tuanku (cara penggunaan dan sebutannya) supaya nahu dalam bahasa Arab juga tepat," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.


Al-Sultan Abdullah yang dimasyhurkan pada Januari lalu, merupakan Sultan Pahang keenam selepas mengambil alih takhta pemerintahan daripada Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah ekoran keadaan kesihatan baginda yang gering pada waktu itu.


Istiadat pemasyhuran berlangsung di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan, tiga hari selepas Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengumumkan pelantikan itu yang dibuat mengikut Perkara 9A Bahagian 1 Undang-undang Tubuh Negeri Pahang.

Tengku Abdul Rahman seterusnya memaklumkan nama Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.



Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiusaha Sulit Sultan Pahang Kolonel Nazim Mohd Alim, gelaran itu membawa maksud Sultan Abdullah pembela agama yang dipilih Allah.



Al-Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal Pekan adalah cahaya mata keempat dan putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.


Kali pertama baginda memangku jawatan itu ialah ketika berusia 20 tahun pada 28 April 1979 semasa ayahanda baginda ditabal Yang di-Pertuan Agong pada 1979-1984. - BERNAMA



Nama Rasmi Agong dan Permaisuri

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-252 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Mac lalu telah memperkenankan penggunaan nama rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan penggunaan nama rasmi Yang di-Pertuan Agong adalah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.


“Manakala, nama rasmi Raja Permaisuri Agong adalah Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj,” katanya dalam kenyataan Istana Negara hari ini. - UTUSAN ONLINE

xx

No comments:

Post a Comment

Komen dan cadangan dari pembaca amat di alu-alukan.

Walau bagaimana pun Mat Drat mengambil sedikit masa untuk membalas komen atau sebarang pertanyaan.