Thursday, 29 March 2018

Kisah Seram di Lebuhraya Karak : Red Kebaya vs Kurung Biru








Post ini Mat Drat pernah di share di blog ni dahulu sempena filem Volkswagen Kuning  - satu filem kisah seram di jalan lama. Hari ni sempena sibuk sana sini viral perempuan red kebaya, Mat Drat repost semula kisah ni, tapi kisah perempuan berbaju kurung biru.


Perkongsian dahulu.....


Tak pernah rasanya Mat Drat berkongsi kisah seram di blog ini tetapi kali ini nak pecah rekod sendiri kerana kebetulan Mat Drat baru merasai satu pengalaman yang agak  menyeramkan. Jadi terpanggil juga untuk berkongsi kisah Mat Drat ni di blog.

kisah misteri yang masih terus menjadi misteri dan Mat Drat ingat hingga kini... 


Wanita dan Anak Kecil di tepi Jalan Lama KL - Karak


Sewaktu balik ke kampung sempena cuti public holiday baru baru ini, Mat Drat terpaksa melalui Jalan Lama KL - Karak kerana Lebuhraya KL-Karak teramatlah jemmmm. Seingat Mat Drat ini hanya beberapa kali Mat Drat melalui jalan ini, dan apatah lagi pada waktu malam..... waktu tengah malam!!! Semuanya kerana lebuhraya sesak sangat, jadi nak tak nak kena ikut juga jalan lama. 

Mat Drat bergerak dari rumah sudah lewat sekitar jam 10 malam dengan harapan sampai di Tol Gombak, kesesakan yang bermula petang tadi telah reda. Sangkaan Mat Drat meleset kerana sewaktu menghampiri Batu Caves sekitar jam 11.00 malam, kesesakan di Lebuhraya MRR2 menuju ke Lebuhraya Karak masih tidak berubah seperti siang tadi. Malahan bertambah teruk dan kira tahap melekat!!!

Applikasi 'Waze' mencadangkan Mat Drat menggunakan jalan lama iaitu Jalan KL - Karak. Beza masa hampir 2 jam berbanding melalui Lebuhraya KL -Karak, jadi memang Mat Drat perlu gunakan jalan lama kali ni.  

Kalau yang belum pernah melalui jalan ini, boleh la bayangkan jalan yang berselekoh, sempit dan sunyi seperti menuju ke Bukit Fraser, cuma jalan ni lebih sempit, selekohnya lebih tajam dan jalannya lebih sunyi di mana kiri kanan adalah hutan.... tiada rumah orang ye.


Teringat lebih 15 tahun dahulu, Mat Drat melalui jalan ini buat kali pertama - juga di waktu malam. Ketika itu berlaku tanah runtuh di susur ke Genting Highland yang telah menutupi sebahagian Lebuhraya KL - Karak. Tak silap Mat Drat, salah seorang mangsa yang tertimbus oleh tanah runtuh itu masih belum dijumpai sehingga kini. Berkubur jasadnya di situ. 


Fasa pertama perjalanan dari Gombak ke Genting Sempah agak 'okey' kerana kereta masih banyak yang melalui jalan ini. Berderet kereta di hadapan kami, dan masih berjujut kereta di belakang kami. Perjalanan lancar cuma ada sekali kami terpaksa berhenti kerana berselisih dengan lori di satu selekoh. Jalan sempit la katakan, terpaksa bertolak ansur.


Tengah-tengah sedap-sedap memandu di waktu malam di jalan lama ini dan di tengah-tengah hutan boleh pula ternampak satu kereta berhenti tepi jalan... 

Bagi Mat Drat, memberhentikan kereta tu dah kira berani.... Tapi turun kereta dan buang air kecil tengah malam di dalam hutan, memang betul-betul berani!!! Dah tak tahan sangat la tu sampai sanggup berhenti. Patut pakai botol je!!!  ha ha ha 

Tapi rasanya mesti dia pun ada rasa sikit takut-takut kot sebab si lelaki tu membuang air kecil tak jauh dari kereta dia. He he he. Berani dalam takut. Kes terpaksa berani la ni.

Pemanduan yang cukup berhemah tanpa memotong kereta dan tanpa dipotong oleh mana-mana kereta. Ye la, jalan sempit dan berliku-liku, tengah malam pula dan masing-masing faham keadaan jalan lama ni. Selepas lebih kurang 30-45  minit pemanduan, akhirnya Mat Drat sampai di Genting Sempah dan dari situ Mat Drat masuk ke Lebuhraya KL-Karak. 

Baru je pandu dalam 200-3OO meter di lebuh raya, traffik kembalik sesak.  On semula waze, dan 'Waze' mencadangkan Mat Drat meneruskan perjalanan dengan menggunakan laluan lama dari Genting Sempah sehingga ke Bentong. Selepas terperangkap dalam 2 km dalam kesesakan, akhirnya Mat Drat tiba di exit Bukit Tinggi (Selesa Hill Homes), Mat Drat keluar di exit tu dan masuk ke jalan lama semula. 

Jam dah menghampiri 1 pagi waktu tu....


Sewaktu Mat Drat mula memasuki jalan lama, baru Mat Drat perasan hanya kereta Mat Drat sahaja yang melalui jalan ini pada waktu ini!!! Haru....... 

Lantas secara spontan isteri Mat Drat berkata  "Kita patah balik la bang, tak ada orang lain pun lalu sini. Dah tengah malam ni, apa-apa nanti susah."

Mat Drat faham maksud kata-kata isteri 'apa-apa' tu, tapi Mat Drat jawab kembali "InsyaAllah tak ada apa-apa, kereta dah servis dan highway tu jem sangat".

Jadi perjalanan diteruskan menuju ke Bentong membelah kegelapan dan kesunyian malam....... Anak-anak semuanya telah tidur dan hanya isteri yang masih gagah menemani Mat Drat sepanjang perjalanan itu.

Perjalan menuju ke Bentong ketika itu hanya ditemani bacaan ayat-ayat Al-Qurran dari CD Player. Bagi Mat Drat tak berapa 'manis' pula dengar radio di kawasan macam ni.


Sampai di satu selekoh, kelihatan beberapa kenderaan telah berhenti di hadapan dan beberapa orang sedang mengerumuni sesuatu di tepi jalan. Kerana perasaan ingin tahu, Mat Drat turut memberhentikan kenderaan dan sama-sama menuju ke tempat mereka berkumpul.


Terkejut Mat Drat!!! Rupa-rupanya di situ kelihatan seorang wanita yang sedang terbaring sambil memeluk erat anaknya. Mat Drat berpendapat anaknya mungkin baru berumur sekitar 1-2 tahun. Yang menyedihkan wanita itu telah meninggal dunia berdasarkan keadaannya yang sudah mereput. Mungkin sudah berhari mayatnya di situ. Bau pun sungguh menusuk hidung....

Orang ramai hanya datang untuk melihat seketika dan berlalu pergi dengan menutup hidung kerana tidak tahan dengan bau mayat itu. Mat Drat bersama seorang lelaki, bersama-sama mengangkat mayat dan diletakkan di atas satu kain dan kami turut mengutip cebisan-cebisan daging yang telah mereput.

Sambil mengutip cebisan sambil saya membaca ayat Al Qurran yang terlintas, sebabnya dari ramai-ramai yang berhenti tinggal Mat Drat dan seorang lelaki sahaja...

Ketika mengutip cebisan daging mayat wanita itu, tiba-tiba bahu kiri saya di cuit oleh seseorang "Abang, bangun bang!! Abang mengigau ni"

Rupanya isteri saya mengejutkan saya kerana dia agak gusar melihat Mat Drat membaca 'sesuatu' yang tidak berapa jelas tadi.


Apabila sedar kembali dari terlelap, baru Mat Drat teringat rupanya tadi Mat Drat berhenti sebentar di stesyen minyak Petronas Bentong untuk berehat kerana keletihan. Memandu sorang-sorang di Jalan Lama Karak dari Genting Sempah ke Bentong tadi sedikit mencabar perasaan sebenarnya.

Mana tak letihnya, awal pagi Mat Drat telah ke pejabat, kemudian sebelah petang balik ke rumah untuk mengambil isteri dan anak-anak, dan kemudian teraksa pula menunggu anak di asrama sehingga 10 malam sebelum memulakan perjalanan balik ke kampung. Balik pula, terpaksa menempuh jalan jem dan terpaksa mengelak dengan melalui jalan lama di tengah malam... 

Oleh kerana terlalu letih, sampai je di Pekan Bentong terus Mat Drat cari tempat yang agak selamat untuk melelapkan mata.. Sempat juga terlelap seketika di dalam kereta.... terlelap sehingga termimpi sesuatu yang agak 'misteri' bagi Mat Drat. Masih terbayang-bayang Mat Drat mengutip cebisan daging mayat perempuan tu.....

Tak ramai berani turun dari kereta di tengah malam di jalan sunyi!!
Tapi hero dalam filem ni...berani!!


Wanita Tinggi Berbaju Kurung Biru di Jalan Jengka

Sedar dari mimpi itu tadi, jam sudah menunjukkan jam 2:30 pagi. Perjalanan ke Jengka perlu diteruskan. Masih jauh....

Dari Bentong Mat Drat terus memasuki lebuhraya Kuala Lumpur - Karak dan seterusnya memasuki Lebuhraya LPT sebelum perlu keluar di Exit Chenor dan meneruskan perjalanan dengan melalui Jalan Jengka untuk menuju ke destinasi terakhir. Kali ni di kiri dan kanan adalah ladang sawit. 


Isteri dan anak-anak dah terlelap semuanya... Dan Mat Drat memandu sambil ditemani kisah silam, kisah yang tak akan dilupakan.



Sepanjang perjalanan di lebuhraya itu kenangan lama asik terimbau je, kenangan (pengalaman) Mat Drat terserempak dengan seorang wanita di Jalan Jengka di waktu tengah malam beberapa tahun dahulu. Ya Wanita lagi.....

Ni bukan perempuan berkebaya merah, tetapi perempuan berbaju kurung biru.... tinggggiiiiii.


Kisahnya begini....

Beberapa tahun dahulu, Mat Drat menghantar adik ipar ke rumah sahabatnya di salah sebuah Felda Jengka XX dengan ditemani ibu mertua Mat Drat. Kami terpaksa ke sana pada lewat malam kerana adik ipar Mat Drat akan menumpang kawannya untuk balik ke kolej di Kedah. Jadi mereka bercadang nak bergerak tengah malam, sekitar 11:30-12:00 malam. Sebelah siang harinya, rumah kawan adik ipar Mat Drat tu ada majlis kenduri kahwin, jadi terpaksa dia bergerak agak lewat sedikit ke kolej. Adat menumpang orang, jadi kena ikutkan sahaja waktu yang ditetapkan oleh kawannya.


Dah hantar ke rumah kawan dia, Mat Drat terus balik. Dalam perjalanan pulang, seperti biasa jalan di Jengka agak sunyi dan tidak banyak kenderaan pada waktu malam dan lebih-lebih lagi tengah malam. Kalau berselisih dengan satu kereta pun dah kira 'bersyukur'. Sebagai anak Jengka, Mat Drat sudah biasa melalui jalan di sini pada waktu malam. Tiada perasaan takut atau seumpamanya.


Pernah masa 'study' dulu, balik ke rumah dari KL malam-malam, motor rosak tengah jalan... waktu tu dalam 9-10 malam. Dah menolak motor dalam 15 minit, nasib baik ada sorang brader dengan kereta wira lalu. Dia yang tolong masa tu. Tolong angkat motor untuk sorok dalam ladang, dan tumpangkan Mat Drat sampai ke rumah. Lepas tu baru Mat Drat ajak orang tua patah balik untuk ambil motor tu semula pakai lori kecil. 




Okey, balik kisah Mat Drat tadi. 
Perjalanan cukup mendamaikan dengan ditemani DJ radio. Lagu yang mendayu-dayu dan langit agak cerah dan bulan penuh cukup mendamaikan. Memandu sambil layannnn lagu dan celoteh DJ.... 


Ketika menghampiri satu selekoh, dari jauh Mat Drat nampak seperti ada seseorang di tepi jalan. Tanpa berfikir apa-apa, Mat Drat merendahkan lampu kereta dan kemudian menaikkan 'high beam' semula untuk mengesahkan memang ada orang di hadapan sana. Yup, memang betul apa yang Mat Drat  nampak... ada seorang wanita berbaju biru di hadapan sana.


Cuma terdetik pada waktu itu...."apa la yang dia buat pompuan ni tengah-tengah malam macam ni" 


Apabila Mat Drat semakin menghampiri 'dia', terpancul dari mulut Mat Drat Ya Allah! Tingginya!!


Terkejut Mat Drat kerana apa yang Mat Drat nampak tadi adalah wanita berbaju biru tak bertudung tetapi sangat tinggi. Sewaktu Mat Drat melintasinya, sedikit pun Mat Drat tidak berani menoleh ke kanan nak lihat dia. Seperti nafaz tersekat dan tergamam seketika.


Tiada apa yang terlintas ketika itu kecuali terus Mat Drat memainkan CD Player untuk mendengar bacaan ayat-ayat Al Qurran sambil mulut saya tidak putus-putus membaca apa-apa sahaja ayat yang terlintas di kepala pada waktu itu. Mat Drat tak tahu ibu mertua Mat Drat di belakang sudah tertidur atau tidak, sama ada dia perasan apa yang Mat Drat nampak atau pun tidak. Tak berani nak bersuara... tak berani nak pandang belakang!!

Mat Drat teruskan sahaja perjalanan tanpa berani melihat cermin belakang kereta... Toleh ke kiri kanan pun dah tak sanggup.


Keesokanya ketika bersarapan pagi, ibu mertua Mat Drat bertanya "Kenapa malam tadi tiba-tiba mengaji dan pasang ayat-ayat Al Qurran?"


Dan terpaksalah Mat Drat menceritakan apa yang Mat Drat nampak kepada dia dan juga kepada isteri Mat Drat.



Kisah wanita berbaju biru ini tidak habis di situ sahaja sebenarnya. Seminggu selepas Mat Drat balik ke rumah di KL ni, kelibat wanita itu masih Mat Drat rasai akan kewujudannya. Di rumah ke... di pejabat ke...  Mat Drat asik ternampak-nampak sahaja wanita itu. Yang lebih Mat Drat rungsing, pergi ke masjid sekali pun, kelibat wanita itu seakan masih ada.

Tak boleh jadi ni....

Dan Sabtu tu juga, atas nasihat isteri kami pulang semula ke kampung di Jengka. Kali ini Mat Drat pulang ke rumah sendiri dan bukannya ke rumah ibu mertua. Kononnya untuk bertanya kepada yang arif ... apa yang perlu Mat Drat buat. 

Mat Drat ceritakan segalanya kepada ayah... dari kisah Mat Drat ternampak wanita berbaju kurung biru tu sehingga saat yang bayang dia masih terlihat je  akan kelibatnya. Siapa lagi tempat kina hendak mengadu kalau bukan orang tua kita kan...


Ayah Mat Drat mengambil segelas air dan membacakan ayat-ayat suci Al Qurran dan menghembuskan ke air dan menyuruh Mat Drat meminumnya. Sedikit renjisan ke muka Mat Drat dan dia berkata " tak ada apa-apa, ni la upah kalau suka sangat berjalan malam". 


Memang Mat Drat tak nafikan Mat Drat memang suka memandu di waktu malam terutama untuk perjalanan jauh kerana lebih sejuk dan selesa disamping tiada speed trap.



Alhamdulillah, selepas balik semula ke KL, kelibat wanita berbaju biru itu hilang., cuma setiap kali balik dan setiap kali melalui jalan tu.... pasti Mat Drat akan 'luaskan' biji mata takut-takut terserempak lagi.

Satu lagi... sebenarnya ini juga adalah kali pertama Mat Drat nampak ayah Mat Drat 'mengubat' orang. Mungkin ada ilmu yang disimpan oleh ayah Mat Drat.... dan mungkin juga hanya kebetulan kelibat wanita itu hilang begitu sahaja. Wallahualam...



Tetapi kini kisah wanita berbaju biru itu muncul kembali apabila Mat Drat bermimpi ketika melalui Jalan Lama KL - Karak malam tu. Misteri sungguh kerana muncul selepas beberapa tahun. 


Perjalan kami ke Jengka malam iu selamat tiba tanpa apa-apa peristiwa yang tidak menyenangkan. 

Keesokan harinya, Mat Drat post kisah yang sama ini di Facebook  (kisah perempuan di Jalan Lama Karak dan di Jalan Jengka) dan antara komen rakan-rakan Mat Drat adalah mengenai wujudnya Filem seram Karak dan Jengka. Baru Mat Drat tahu rupanya ada kisah seram yang telah difilemkan mengenai misteri Jalan Karak dan Jengka itu sendiri. 

Ops...Kalau berani "cuba lah search di google Puchong Jengka'. Ni kisah kampung Mat Drat ni... he he he





Dan hari ni...viral pulak kisah Perempuan Kebaya Merah...Terus Mat Drat teringat dua kisah ni....

Ni lah sahaja kisah yang tak berapa misteri, mungkin pembaca lain mempunyai pelbagai pengalaman yang yang lebih misteri dan menyeramkan.

Sebenarnya ada lagi satu kisah misteri yang tak boleh dikongsikan sebab 'misteri' tu masih menghantui Mat Drat sekali sekala sehingga kini....


Bagi Mat Drat...yang misteri biarkan ia terus menjadi misteri






Filem Volksvagen Kuning

Dan sehari dua ni Mat Drat perasan di TV ada iklan mengenai Filem Volkswagen Kuning. Segalanya menjadi segar kembali di ingatan dan berkebetulan pula Mat Drat terbaca dan rasa tertarik dengan post Bro Framestone di blognya mengenai Filem Volkswagen Kuning. Nasib baik la kedua-dua pengalaman Mat Drat ini tidak ada kelibat Volkswagen Kuning. He he he .... kalau tak panjang cerita.


Filem Volkswagen Kuning ini merupakan keluaran MIG Picture dan dibintangi oleh Pekin Ibrahim dan Atikah Suhaimie. Melihat kepada Trailer filem ini, perghhhh.... meremang jugak bulu roma.

Filem ini bakal di tayangkan pada 22 September ini. Nampaknya filem ini akan menjadi filem seram tempatan pertama yang akan saya tonton di pawagam.





Sinopsis Volkswagen Kuning
Filem Volkswagen Kuning ini mengisahkan sepasang kekasih yang telah bertunang, Fuad dan Sarah, yang dalam perjalanan untuk pulang ke kampung Fuad. Mereka mengalami gangguan apabila tersesat selepas senja semasa mencari kedai makan. Gangguan itu menyebabkan mereka mengalami kemalangan dan Sarah mula berubah. Semuanya gara-gara Volkswagen kuning!

Fuad ditahan di wad, manakala Sarah langsung tidak mengalami kecederaan. Raudhah, kakak Sarah, datang untuk menjemput Sarah pulang ke bandar, sementara menunggu Fuad pulih dari kecederaan. Tanpa diduga, Sarah membawa pulang ‘sesuatu’ bersamanya.




Link Trailer Volkswagen Kuning : https://www.youtube.com/watch?v=m02a-R7nWlQ




Dan sekali lagi ....... Biarkan Misteri Terus Menjadi Misteri.....

~mat-drat~

4 comments:

  1. Nasib baik x baca malam tadi..kalau tak sure akak x leh tido..wakakaka

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau baca... Ada peluang dpt mimpi sama....πŸ˜€

      Delete
  2. hehe...minta dijauhkan mimpi camtu..ngeriii

    salam kenal dari umifuzy.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam kenal kembali. Jgn minta elak mimpi mcm tu je, minta jgn la jumpa pompuan tu juga...
      😁😁

      Delete