Thursday 2 June 2016

Kampung Nelayan Pulau Perhentian Kecil




sambungan dari entry ke-7 sebelum ini... Tempat Snorkeling Best di Pulau Perhentian


Day 2....untuk entry ke-8 ini saya kongsikan catatan kami 


Kampung Nelayan , Pulau Perhentian Kecil

Sampai di bilik dari trip snorkeling tadi, anak-anak dah kepenatan. Nampak riak muka masing-masing yang letih dan di tambah pula cuaca yang agak panas.

Jadi saya decide anak-anak berehat sahaja di bilik, manakala saya dan isteri berdua sahaja akan ke Kampung Nelayan di Pulau Perhentian Besar untuk cari makanan untuk santapan tengah hari serta bekalan untuk sarapan pagi esok.

Dari Barat Perhentian Resort, tambang teksi air (bot) adalah RM 5 seorang untuk sehala ke Kampung Nelayan. Jarak perjalanan saya rasa cuma lebih kurang 5 minit sahaja, memang betul-betul The Barat Perhentian ini mengadap Kampung Nelayan.



Tambang Bot Pulau Perhentian



Tambang bot Pulau Perhentian

Tambang teksi air (bot) boleh dikatakan agak sama sahaja di antara satu operator ke operator lain. Harga yang dipamer adalah harga tambang bagi seorang, bukan harga satu bot. Dan tak kira kita naik satu bot tu berdua atau berlima atau bertujuh, harga tetap sama

Harga tambang teksi ini mengikut jarak, dari RM 5 sehingga RM 50 ke lokasi yang paling jauh. (Dari The Barat Perhentian la. Jika menginap di Teluk Dalam di Pulau Perhentian Besar ni, kemungkinan untuk ke Long Beach atau ke Coral Bay pastinya harga yang dikenakan lebih mahal. 

Harga tambang teksi ini juga akan naik kepada double apabila selepas 7 malam.

Bot kami naiki ini, hanya kami berdua sahaja yang akan ke Kampung Nelayan. Jadi mereka tak tunggu bot penuh atau penunpang ramai sedikit. Janji lepas duit petrol dan upah pekerja, kira boleh jalan la..... Senang sistem macam ni. Kalau nak tunggu bot penuh, memang tak tahu bila la boleh gerak. .



Bot kami naiki menghampiri Kampung Nelayan.
Tersergam masjid baru mereka.



Air berhampiran Kampung Nelayan ini juga cukup jernih
Memang agak bamyak bot di sini.

Terpampang tulisan di jeti ni  "Menjaga Kebersihan Lautan Kita"
Jeti Kampung Nelayan. Kedai makan ada tetapi agak penuh.


Kampung Nelayan di Pulau Perhentian Kecil ni boleh la dikatakan satu-satunya penempatan yang paling lengkap di Pulau Perhentian. Di sini ada pelbagai kemudahan seperti sekolah, tadika, balai polis dan klinik. Ada juga beberapa kedai runcit dan kedai makan serta juga sebuah masjid. Sewaktu kami ke Pulau Perhentian ini, masjid yang baru dibina telah dibuka. Tersergam indah masjid ni yang kedudukannya ditepi laut. Orang sini panggil 'Masjid Putih'.




Di sini juga terdapat banyak penginapan budget dan juga bilik untuk backpacker. Harga per pax boleh dapat serendah RM 30 per pax. Tapi kena buat pilihan betul-betul supaya percutian tidak terganggu dengan masalah penginapan yang kurang selesa.


Kalau ambil penginapan yang RM 30 per pax, jangan pula bandingkan dengan bilik resort yang beratus satu malam.




Balai Polis... Balai Raya... Tadika... Klinik... Lengkap semua



Kampun Nelayan dapat nama semestinya kerana majority penduduknya di sini adalah nelayan. Jadi ikan disini agak murah. Kalau nak beli makanan, nak murah beli la ikan.... jangan pulak ambil lauk ayam. 

Kami ke sebuah kedai runcit untuk membeli sedikit bekalan makanan memandangkan makanan untuk bersarapan esok telah habis. Semua roti kami 2 bungkus yang dibawa telah disedekahkan kepada ikan-ikan semasa snorkeling pagi tadi.

Di kedai runcit ni, harga tidak la mahal melampau, masih boleh diterima memandangkan jarak pulau ni yang agak jauh dari tanah besar. Sebagai contohnya, telur sebijik di sini berharga RM0.60. Maggi segera pula berharga RM 2.00 sepaket dan sardine kita tambahla dalam RM 2-3 dari harga kita beli di tanah besar.

Ikan sarin dalam tin pun banyak... jangan risau.

Kami tak pusing kemana-mana di Kampung Nelayan ni, selepas beli sedikit bekalan makanan kami terus ke kedai makan yang terletak di tepi Jeti. Terdapat beberapa kedai makanan di sini, jadi jangan risau takut makanan habis.



Ada beberapa kedai makan berhampiran jeti
Murah akak ni jual lauk kepada kami

Kami sampai di sini sekitar jam 3 lebih dan nasi dan lauk-lauk masih ada. Dalam memilih lauk untuk dibungkus, tertarik lak saya dengan ikan yang seakan ikan kekek/ikan cermin. Pastinya ikan-ikan disini segar-segar belaka. 

Bila saya tanya kepada kakak yang menjual, berapa harga ikan ni seekor... dia kata seekor RM 0.50.

"RM 0.50 je seekor kak?" tanya saya.

Sambil senyum , "Shyyyy... jangan kuat sangat. akak bagi kat awak murah ni sebab akak nak tutup kedai dah. Nanti dengar kat orang depan tu...."

Di dalam kedai makan ni ada satu couple dan satu family kecil sedang makan. Mungkin mereka tadi kena harga mahal sikit kot... Rezeki kami sebab sambil memilih lauk tu kami banyak berbual dengan akak tu.

Habis ikan-ikan tu kami borong, nasib baik ada 10-12 ekor sahaja. Kalau ada 20 ekor tadi, 20 ekor lah yang akan kami beli.


Kedai makan akak tadi


Ada sesetengah pakej snorkeling menawarkan sekali lawatan ke Kampung Nelayan.  Kira lawatan sambil makan tengah hari. Boleh la tanya-tanya operator bot atau ejen yang menguruskan aktiviti snorkeling kalau dia boleh arrangekan sekali ke sini.

Selesai bungkus nasi dan lauk pauk, kami terus balik ke The Barat Perhentian Resort.  Mahal pulak naik bot dari sini, ingatkan standard harga. Tadi RM 5 seorang sehala untuk ke sini, ini nak balik kena RM 6 seorang pula.



Terpampang di sini "Keep Our Ocean Clean"

Tengok la air tu... jernihnya
Pemandu bot yang hantar kami ke The Barat Perhentian. Macam-macam dia cerita

Selepas penat bersnokeling, menaiki bot berdua sambil ditiup angin laut sungguh membuat diri terasa di awan-awangan.... seronok pula berselfie sambil menikmati saat-saat ini berdua.


Tambang Bot Pulau Perhentian


Tambang Bot Pulau Perhentian







Cuma satu masalah, bot ini tak sediakan safety jacket! Adui... Kita yang sekali sekala naik bot kat tengah laut ni terasa ngeri je bila atas bot kecil tanpa safety jacket. Kalau jadi apa-apa , memang 'selamat' la..... Nasib baik tak bawa anak-anak sekali.

Pergi tadi tak di beri safety jacket, balik pun sama tak diberi safety jacket.

Sewaktu perjalanan balik ke hotel, agak kurang kelihatan bot mundar mandir tidak seperti pagi semasa aktiviti snorkeling.

Dan apabila sampai di The Barat Perhentian, rupa-rupanya anak-anak dah menunggu kami pulang sambil mereka berehat di buaian di hadapan Reception resort kami.





Siap makan-makan dengan anak-anak di hadapan ni (di sini banyak disediakan meja dan kerusi), kami berdua bersiap pula untuk ke Long Beach, Pulau Perhentian Kecil untuk melihat suasana sunset dari sana.



Dan catatan saya bersambung di entry ke-9 ... 
👉👉👉  Jalan-jalan di Long Beach Perhentian Kecil




Boleh baca entry-entry lain untuk pengalaman percutian kami di Pulau Perhentian.

👉👉 Aktivit di Pulau Perhentian Besar

👉👉 Snorkeling di Teluk Pauh
👉👉 Long Beach Pulau Perhentian

~mat-drat~




6 comments:

  1. Replies
    1. maaf tuan. kekangan masa di Bulan Ramadhan / Syawal dan sedang berada di perantauan. Nanti saya sambung ye. TQ kerana singgah

      Delete
  2. tq for info..sangat details ... I like.... boleh dijadikan sumber rujukan...

    ReplyDelete
  3. kalau saya menginap di pulau perhentian besar..
    banyak tak tempat makan yang murah kat sana?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pengalaman Saya, Perhentian Besar nak makan kena makan di Cafe resort. Jika di Perhentian Kecil, banyak pilihan utk makan

      Delete

Komen dan cadangan dari pembaca amat di alu-alukan.

Walau bagaimana pun Mat Drat mengambil sedikit masa untuk membalas komen atau sebarang pertanyaan.